Dari Abu Zar r.a, beliau berkata, saya berkata : "Wahai Rasulullah berwasiatlah kepadaku. Baginda bersabda : "Tetaplah engkau bertakwa kepada Allah kerana ianya merupakan pokok kepada semua perkara". Saya berkata : " Wahai Rasulullah, berilah tambahan." Baginda bersabda : "Tetaplah engkau membaca al-Quran kerana ianya sebagai penerang bagimu di bumi dan sebagai simpanan bagimu di langit." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya, hadis yang panjang).
Berdasarkan hadis di atas jelaslah wasiat Nabi SAW kepada Abu Zar r.a iaitu :
1. Bertakwa kepada Allah SWT - pokok kepada semua perkara.
2. Membaca al-Quran - sebagai penerang di bumi dan simpanan di langit.
Huraiannya :
1. Bertakwa kepada Allah SWT - pokok kepada semua perkara.
Bertakwa kepada Allah SWT adalah merupakan wasiat bagi orang-orang terdahulu dan yang terkemudian, merupakan dasar perbuatan yang utama, kebajikan, kebaikan di dunia dan akhirat. Pada hakikat dan intinya merupakan persoalan hati. Oleh kerana itu Nabi SAW bersabda maksudnya : “Takwa itu ada di sini,” sambil menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali. Baginda mengatakannya sebanyak tiga kali sambil memberikan isyarat dengan tangannya ke dadanya agar dapat dipahami oleh akal dan jiwa manusia.
Al-Quran menjelaskan bahawasanya keselamatan di akhirat kelak, dan mencapai syurga di sana, hanya dapat dicapai oleh orang yang bertakwa dan hatinya bersih dari kemusyrikan, kemunafikan dan penyakit-penyakit hati yang menghancurkan. Yaitu orang yang hanya menggantungkan diri kepada Allah SWT, sebagaimana yang Dia firmankan melalui lidah nabi-Nya, Ibrahim al-Khalil a.s.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan. (Iaitu) di hari harta dan anak-anak tidak berguna. Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah as-Syu’ara’ ayat 87-89)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan didekatlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka). Inilah yang dijanjikan kepadamu, (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya). (iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat.” (Surah Qaf ayat 31-33)
Keselamatan dari kehinaan pada hari kiamat kelak hanya diberikan kepada orang yang datang kepada Allah SWT dengan hati yang bersih. Dan syurga hanya diberikan kepada orang yang datang kepada Tuhannya dengan hati yang menyerah diri.
Sehubungan dengan hal ini, al-Quran memberi isyarat bahwa ketakwaan itu dilakukan oleh hati manusia:
Firman Allah SWT maksudnya : “Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj ayat 32)
Semua tingkah laku dan perbuatan yang mulia adalah sifat orang yang bertakwa, diserta kan pula dengan amalan rabbaniyah yang menjadi perhatian para ahli tasawuf, serta para penganjur pendidikan ruhaniah, merupakan perkara-perkara yang berkaitan dengan hati; seperti menjauhi dunia, memberi perhatian yang lebih kepada akhirat, keikhlasan kepada Allah, kecintaan kepada Allah dan RasulNya, tawakkal kepada Allah, mengharapkan rahmat-Nya, takut kepada siksaan-Nya, mensyukuri nikmatNya, bersabar atas bencana, reda terhadap ketentuanNya, selalu mengingatiNya, mengawasi diri sendiri dan lain-lain. Perkara-perkara ini merupakan inti dan ruh agama, sehingga barangsiapa yang tidak memiliki perhatian sama sekali terhadapnya maka dia akan merugi sendiri, dan juga rugi dari segi agamanya.
Sifat takwa adalah merupakan pokok kepada semua perkara kebaikan dan amal soleh. Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”. ( Surah Aali Imran ayat 133 )
2. Membaca al-Quran - sebagai penerang di bumi dan simpanan di langit.
Dari Aisyah r.ha katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sukar baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis Riwayat Muslim)
Allah SWT berfirman maksudnya : “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekelian alam.” (Surah Al-Waaqiah ayat 77-80).
Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran adalah amat perlu dititikberatkan karena melalui al-Quranlah Allah SWT memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Dan kerana Al-Quran pula Allah SWT mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Oleh itu Allah SWT mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran sepertimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” ((Hadis Riwayat Bukhari, Abu Daud, Tarmizi).
Sesiapa yang membaca al-Quran adalah sebagai penerang dibumi maksudnya hati orang yang membaca al-Quran sentiasa tenang dan damai, tidak keluh kesah dan mudah kecewa apabila berhadapan dengan dugaan hidup. Al-Quran sebagai pembersih segala karat-karat yang terdapat dihati manusia, begitu juga rumah yang sentiasa dibacakan al-Quran di dalamnya akan sentiasa dirahmati Allah SWT dan malaikat rahmat akan mengunjugi rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya.
Membaca al-Quran adalah simpanan di langit adalah sebagai bekalan yang akan diberi pahala oleh Allah SWT dan akan membantu pembacanya ketika tidak ada amalan lain yang akan membantunya.
Dalam hadis sahih riwayat Muslim, dari Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata : Saya mendengar Nabi SAW bersabda : "Bacalah al-Quran kerana ianya akan datang pada hari kiamat sebagai penolong bagi pembacanya. Bacalah Zahrawaini iaitu surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya akan datang pada hari kiamat seperti dua kelompok burung yang berbaris sebagai pembela keduanya. Bacalah surah al-Baqarah kerana sesiapa mengambilnya bererti mendapat berkah. Sesiapa meninggalkannya bererti rugi. Dan ianya tidak terkalahkan oleh pahlawan wanita."
Muawiyah bin Salam berkata : " Telah sampai kepada saya bahawa yang dimaksudkan pahlawan wanita itu adalah ahli sihir wanita."
Ibnu Abbas r.a menceritakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda : “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat Al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.”
Di dalam hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Dua orang sahaja yang boleh dicemburui, pertama seorang yang Allah SWT berikan Al-Quran yang ia amalkan pada siang hari dan malamnya dan keduanya, seorang yang Allah SWT berikan harta dan ia belanjakan harta siang dan malam menurut perintahNYA."
Di dalam hadis yang lain bahawa pada hari kiamat ia akan dikatakan kepada pembaca Al-Quran teruskan membaca Al-Quran dan naiklah darjat kamu dalam syurga. Bacalah dengan tartil dan mudah di dalam dunia kerana darjat dan kedudukan kamu akan berada pada ayat terakhir yang kamu akan baca.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.